Dalam budaya popular Ab Aziz Ab Latiff

Filem

Perjuangan Mejar (B) Ab Aziz Ab Latiff dan pasukannya telah direkodkan melalui filem berjudul 'Malbatt: Misi Bakara' oleh produksi Act 2 Pictures dengan kerjasama Tentera Darat Malaysia (TDM) serta sokongan Tan Sri Dato' Seri Vincent Tan (Berjaya Corporation). Pada tahun 2001, filem berkaitan pertempuran yang sama pernah diterbitkan Hollywood oleh produksi Ridley Scott dan Jerry Bruckheimer berjudul ‘Black Hawk Down’, namun ia hanya memaparkan penglibatan tentera Amerika Syarikat semata-mata.

Penggambaran filem yang dibuat berdasarkan cerita daripada pengalaman beliau dan anggota tentera Malaysia yang telah menyertai pertempuran pada 3 dan 4 Oktober 1993 ini bermula pada Jun 2022 dan ditayangkan pada 18 Ogos 2023. Filem yang membabitkan kos sebanyak RM20 juta itu diarahkan oleh sutradara Adrian Teh yang pernah mengarahkan filem PASKAL dan WIRA. Barisan pelakon tempatan yang membintanginya adalah seperti Bront Palarae yang memegang watak Mejar (B) Ab Aziz Ab Latiff dengan menggunakan nama fiksyen Mejar Adnan, Tony Eusoff, Adlin Aman Ramlie, Shaheizy Sam, Hairul Azreen, Fauzi Nawawi dan Iedil Dzuhrie. Ini adalah filem pertama Malaysia yang ditayangkan di IMAX Golden Screen Cinemas.